Seni Elektronik Lanjutan.
Kursus ini melanjutkan pengetahuan dan kemahiran asas dari Pengenalan Seni Elektronik ke arah penghasilan karya seni halus kontemporari yang kritikal. Para pelajar digalak untuk menggabungkan secara kreatif dan inovatif penggunaan beberapa aplikasi utama untuk melahirkan idea dan konsep peribadi yang diusul. Para pelajar akan diminta mempertahankan kekuatan idea menerusi kefahaman analitikal terhadap beberapa teori, isu, kaedah dan pendekatan yang berkaitan dengan amalan seni elektonik kontemporari.
Seni elektronik adalah satu istilah generik yang mewakili cantuman antara seni halus, media elektronik dan teknologi komputer. Malah ia turut diungkap dalam bentuk seni cahaya, seni video dan seni komputer. Seni cahaya misalnya, menjadikan unsur cahaya dari sumber elektronik sebagai bahan penerokaan dan ekspresi karyawan yang bersifat minimal. Seni elektronik muncul dari ledakan arus industri kosmopolitan yang berpengalaman budayanya. Malah seni elektronik ini berputik di Eropah dan Amerika Syarikat yang menjadi pusat cetusan dan perkembangan saintifik dan revolusi industri.
Perkembangan Seni Elektronik di Malaysia melibatkan penggunaan media elektronik dan pengaruh media massa serta teknologi informasi dalam pembentukan pengalaman budaya masyarakat global. Gabungan pelbagai bentuk inovasi teknologi maklumat berlaku dengan peningkatan kuasa prosesan komputer dan rangkaian yang berdaya pantas. Antara peneraju awal seni elektronik ialah Num June Paik, Les Levine, John Baldessari, Vito Acconci dan Bruce Nauman.